welcome 1

Pages

Senin, 20 Januari 2014

Keunikan Gamat di Laut Sabah

Pengalaman yang sangat indah tentunya bakal dirasai oleh setiap orang apatah lagi sekiranya ia merupakan kali pertama berkunjung ke negeri Sabah. Sabah yang lebih dikenali sebagai Negeri di Bawah Bayu terletak di Kepulauan Borneo, Malaysia Timur. Negeri ini sangat kaya dengan hasil laut di samping hasil-hasil lain yang diusahakan oleh penduduk tempatan.



Tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata apabila setiap pagi melihat betapa banyaknya hasil laut dan tangkapan nelayan seperi ikan, sotong, ketam dan udang yang segar dijual di pasar basah mahupun berdekatan dengan jeti pemunggahan nelayan. Hasil tangkapan laut yang dibeli di jeti boleh dibeli dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar. Penduduk tempatan selalunya membeli hasil laut ini untuk dijadikan juadah lauk, ada yang membeli untuk diniagakan dan ada juga yang diproses untuk dijadikan ikan kering. Ikan kering dan udang kering pula boleh didapati dibahagian pasar kering, Kota Kinabalu.



Tatkala melintasi pasar kering ini, ada satu lagi haiwan laut lain yang dapat dilihat. Ia merupakan sejenis haiwan laut yang bewarna hitam, berbentuk seperti timun dan terdiri daripada pelbagai saiz dan jenis. Ia juga mempunyai banyak kelebihan dan banyak kegunaan bagi masyarakat setempat. Khazanah laut yang amat unik ini adalah 'gamat' atau dikenali juga sebagai 'timun laut' di sesetengah tempat kerana anggota badannya yang menjulur keluar berbentuk silinder seperti timun.

Gamat tergolong di dalam Filum EchinodermataHabitatnya adalah di dasar laut. Di Sabah, gamat dikeringkan untuk dieksport ke China, Hong Kong dan Singapura . Harganya boleh mencecah sehingga RM400 sekilogram. Gamat juga dijadikan makanan bagi penduduk tempatan . Di Semenanjung Malaysia, gamat dijadikan minyak ubat untuk merawat luka disebabkan ketahanannya yang mampu hidup walaupun dipotong dua. melalui kajian makmal yang telah dijalankan, gamat mempunyai bahan antifungus yang juga boleh membantu merawat penyakit kulit seperti panau.




Menurut hasil kajian saintifik, terdapat kira-kira 50 jenis gamat ditemui di perairan laut di Malaysia dan kebanyakkannya terdapat diperairan Sabah. Gamat membiak melalui tiga cara iaitu belahan dedua di mana sel induk akan terbahagi kepada 2 sel anak dan menjadi individu yang berasingan. Selain itu, gamat juga membiak melalui persenyawaan iaitu percantuman di antara gamet jantan dan betina. Pembiakan secara penjanaan semula juga  berlaku pada haiwan unik ini di mana bahagian-bahagian kecil yang terpisah akan membentuk individu yang baru.

Betapa uniknya haiwan laut ini. Ia mempunyai banyak keistimewaan tersendiri dan juga sangat berguna kepda manusia. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua bagi memastikan laut kita bersih dan terhindar daripada pencemaran agar gamat dan hidupan laut lain yang merupakan sumber protein utama seperti ikan dan udang akan terus mewarnai keindahan dasar laut. Di samping itu, ekosistem marin juga akan berada dalam keadaan yang stabil. Kitaran makanan bagi hidupan laut dan manusia juga akan terus berada dalam keadaan yang stabil sekiranya kita menjaga laut daripada pelbagai kepincangan yang tidak diingini.



Kesimpulannya, hidupan marin yang terdiri daripada flora dan fauna merupakan khazanah yang perlu dipelihara. Kewujudan hidupan marin haruslah dikekalkan dan dielakkan daripada kemusnahan.

Jadi, peliharalah laut kita!


 
Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains

Tidak ada komentar:

Posting Komentar