welcome 1

Pages

Senin, 20 Januari 2014

Tinggal 4 hari lagi... SOS di Petrosains!

Hanya tinggal 4  hari  saja lagi ia akan berada di Petrosains, KLCC. Tentu sekali ia adalah pameran 'Sultans of Science' yang mencirikan tentang penemuan semula sains Islam. Pameran ini secara keseluruhannya merangkumi  tokoh-tokoh saintis islam, penemuan -penemuan terawal terhadap pelbagai konsep sains di samping bahan-bahan pameran yang terpilih sebagai perisian ruang pameran ini. Bagi sesiapa yang masih belum mengunjungi atau sesiapa sahaja yang berhajat untuk meneroka dan mempelajari tentang sejarah penemuan semula sains islam, anda masih berpeluang mengunjungi 'Sultans of Science' di Petrosains, Kuala Lumpur sebelum ia akan berakhir pada hari Sabtu, 15 Jun2013.

Inilah pemandangan di sepanjang laluan pintu masuk ke ruang pameran. Ia lain dari yang lain. Sekali pandang pasti kita akan teruja untuk berkunjung ke sini. Pameran yang bertemakan penemuan semula sains islam ini amat menitikberatkan perincian perhiasan yang digunakan seperti lampu-lampu, jendela dan laluan masuk berpermaidani. Semuanya dipastikan agar menepati tema pameran agar pengunjung dapat mendalami ilmu yang disampaikan di pameran  ini.
Sepanjang laluan untuk memasuki ruang pameran, terdapat lukisan wajah-wajah sarjana muslim dan turut disertakan maklumat mengenai sumbangan penemuan  mereka terhadap dunia. Di ruang yang cukup indah ini juga, ia berlatar belakangkan alunan muzik arab khas untuk para pelawat agar dapat lebih merasai dan memperhalusi bahan-bahan pameran di samping dapat menimba banyak ilmu pengetahuan tentang penemuan semula sains islam.
Zheng He merupakan salah satu tarikan utama yang terdapat di dalam ruang pameran. Zheng He ataupun lebih dikenali sebagai Cheng Ho di dalam sejarah melayu memberi implikasi yang besar terhadap aktiviti perdagangan dalam penemuan semula sains islam. Menariknya, apabila mendengar nama beliau, tentu sekali kita beranggapan yang beliau adalah seorang berbangsa cina. Tetapi, beliau sebenarnya adalah seorang muslim, Ma He. Semasa peperangan Mongol, beliau telah dijadikan hamba abdi kepada Keluarga DiRaja Ming. Oleh sebab ketaatan belian yang sangat tinggi, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Laksamana dan sentiasa menemani Putera Zhu Di untuk belayar. Beliau dikenali sebagai seorang pengembara dan pedagang yang hebat kerana kepakarannya mengendalikan kapal mengelilingi dunia. Kapal tersebut adalah Kapal Harta Karun Zheng He yang dipenuhi oleh 1000 orang pekerja yang menjalankan penternakan dan penanaman tumbuhan di atas kapal tersebut.
Selain itu, glob cakerawala telah di reka oleh Al-Mawsili pada kurun ke-13. Kegunaan glob ini adalah untuk mencerap bintang dan buruj. Penemuan semula bahan ini, masih lagi meninggalkan kesan terhadap masyarakat sekarang kerana ia masih digunakan dalam pelayaran kapal.



Tidak ketinggalan, penemuan oleh Abbas Ibn Firnas menganai konsep terbang. Di dalam mempelajari ilmu, Abbas Ibn Firnas sering kali mengambil alam semulajadi sebagai inspirasi. Beliau mengkaji burung untuk mendapatkan idea bagi membolehkan manusia terbang. Beliau berpendapat bentuk sayap burung yang melengkung membantu udara bergerak dengan lebih cepat di bahagian atas sayap berbanding di bahagian bawah. Jadi, tekanan yang lebih tinggi di bawah sayap mengangkat burung ke atas. Dari idea inilah, tercetusnya konsep terbang dan terus digunakan untuk penerbangan masa kini.

Tentunya yang paling menarik di dalam ruangan pameran ini ialah jam gajah ataupun 'elephant clock'. Ini merupakan simbol kepada penemuan semula sains islam dalam penentuan masa. Jam gajah telah direka oleh Al-Jazari seorang jurutera dan arkitek beragama Islam . Jam ini boleh menunjukkan waktu dan memberi isyarat pergerakan untuk setiap 30 minit. Keunikan rekabentuk jam gajah terserlah oleh gabungan pelbagai jenis haiwan yang menjadi simbol beberapa buah negara.




Bukan setakat itu sahaja malah terdapat di salah satu sudut aktiviti, kita juga berpeluang mempelajari bagaimana menghasilkan minyak wangi dari rempah ratus seperti bunga cengkih, kayu manis, bunga lawang, jintan manis dan buah pelaga. Staf-staf Petrosains  sentiasa bersedia di sudut aktiviti pastinya akan menerangkan lebih lanjut tentang sains di sebalik minyak wangi ini.

Di pameran Sultan of Science ini juga terdapat pentas kecil yang tersedia untuk sesi pertunjukan sains khusus untuk para pengunjung. Pertunjukkan sains diadakan pada jam 12.00 tengahari dan 2.00 petang dari hari Isnin hingga Jumaat dan tambahan pertunjukkan 4.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad.
Semua yang diatas pastinya akan menemui pengunjung-pengunjung yang datang. Terdapat banyak lagi  bahan-bahan pameran yang lebih menarik di pameran 'Sultans of Science'.

Tinggal 4 hari saja lagi! Jadi rebutlah peluang terakhir ini untuk berkunjung sambil belajar ke pameran 'Sultans of Science', Petrosains kerana ia akan berakhir tidak lama lagi. Ilmu yang bakal anda perolehi adalah tidak sia-sia malah ia boleh dimanfaatkan pada masa-masa akan datang.







Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains

Tidak ada komentar:

Posting Komentar